Saturday, July 4, 2009

tips memilih lagu


Memilih lagu adalah amat penting. Selain menjadi halwa telinga, ia juga menentukan sama ada kita mendapat pahala atau dosa dengan mendengar lagu tersebut. Rasa terkejut? Hal ini bukanlah suatu yang asing, bahkan ia perlu dititikberatkan kerana Islam adalah suatu cara hidup, bukanlah agama yang berkaitan dengan amalan ritual semata-mata.

Tips memilih lagu ini bergantung dengan tujuan kita mendengar lagu. Jika hanya sekadar mendengar tanpa mempunyai apa-apa tujuan, ia adalah sia-sia kerana setiap amalan berasaskan niat. Mungkin juga kita keliru apa tujuan kita. Kerana rakan-rakan kita mendengar lagu, maka kita turut sama mendengarnya. Pengaruh rakan sebaya kata orang zaman sekarang. Namun jika tujuan kita mendengar lagu adalah untuk berhibur, dan kita pula ingin berhibur dengan sesuatu yang memberi manfaat kepada kita, maka tips ini amat sesuai untuk anda.

Kadang-kadang kita keliru dengan objektif atau niat sebenar dalam kehidupan seharian kita. Kita minum air hanya untuk menghilangkan dahaga, namun seringkali kita memilih gelas yang cantik berbanding yang buruk, meskipun kedua-duanya bersih. Dulu timbul perdebatan mengenai hukum alat muzik bertali. Adakah ia diharuskan oleh Islam ataupun tidak. Perbincangan ini amat meluas dan sering kedengaran. Namun, perbincangan mengenai pemlihan lagu, jarang ditimbulkan. Akhirnya, kita mengambil keputusan yang mudah, iaitu memilih lagu yang bersesuaian dengan jiwa kita, yang muziknya serasi dengan naluri kita, dan sebagainya. Namun saya yakin dan percaya, Islam bukanlah agama yang menyusahkan, namun ia adalah agama yang sempurna dan syumul (menyeluruh).

Adab-adab untuk masuk ke tandas pun dititikberatkan, bukanlah kerana Islam ini agama yang cerewet, tapi kerana ia sungguh prihatin dengan setiap apa yang kita yakni penganutnya lakukan. Ia bukanlah semudah seperti yang diluahkan oleh serangkap lirik lagu tempatan, yang saya agak minati satu ketika dahulu, Whats wrong with the hornies wearing minis Whether in the clubs or malls or streets in the cities We make a big deal about the little things in life On the differences rather than the similarities alike. Pada ketika saya meminati lagu ini, tidak pula sedar akan mesej yang cuba disampaikan. Hak dan kebebasan dalam mengamalkan apa yang ingin dilakukan tanpa mengambil kira hukum agama cuba diterapkan. Namun, tanpa disedari, dalam memperjuangkan hak dan kebebasan ini, ia seperti kata pepatah Melayu, "Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak" kerana dalam rangkap lagu yang sebelumnya, ia berbunyi "Too many wannabes in our Hip Hop community Talking crap bout the ghetto, G thang and the rivalry Talk the way you normally talk lah Youre from KL, not an American rap star". Apa salahnya mereka cuba meniru budaya lain? Dan kenapa pula tidak salah untuk para gadis seksi memakai mini skirt? Adakah ia salah kerana ia berlawanan dengan budaya lain? dan kes kedua, tidak pula salah walaupun berlawanan dengan ajaran agama? Tanpa kita sedari, dalam lagu yang selama ini kita puja, terdapat unsur-unsur yang cuba menggelincirkan kita daripada landasan yang sebenar.


Lagu ini pula, menjadi siulan kita hari-hari, melebihi bacaan kita dalam mathurat, zikir ataupun ayat Al-Quran itu sendiri. Bagi saya, jikalau semua mempertahankan pendapat sendiri untuk memilih lagu dan besertakan hujah-hujah logiknya, mengapa tidak kita memperdebatkan tentang kriteria pemilihan jodoh. Mesti ramai yang tidak bersetuju dengan hadis nabi yang menitikberatkan agama berbanding kekayaan, kecantikan dan keturunan. Jika mahu diikutkan logik akal dan pandangan masing- masing, maka tidak tenteramlah dunia ini. “Dan jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.” (An-Nisa’: 59).

Kita perhatikan pula analogi ini. Seorang isteri sedang nazak di rumahnya akibat penyakit misteri. Si tabib menyuruh si suami pergi ke hutan dan mencari tanaman herba. Disebabkan hanya tumbuhan tertentu boleh dipetik, tugasan tersebut menjadi susah. Kalau diikutkan hati si suami, petik sahajalah tumbuhan yang mudah dijumpai. Namun, disebabkan si tabib lebih memahami penyakit misteri tersebut, si suami terpaksa akur. Sama halnya dengan kita. Dalam apa jua keadaan, atau dalam tajuk ini, memilih lagu, kita boleh lakukan apa yang kita suka. Memilih lagu yang bersesuaian dengan jiwa dan emosi kita. Namun, Allah, Pencipta kita lebih mengetahui apa yang baik untuk diri kita. Sebab itulah kita tidak boleh sewenang-wenangnya memilih.

Lagu yang baik, bagi pendapat saya, bukanlah lagu yang mempunyai muzik yang mendayu-dayu, ataupun dinyanyikan oleh suara yang merdu. Bahkan lagu yang sepatutnya dipilih ialah berdasarkan mesej atau yang makna yang ingin dibawanya. Lagu yang bila mendengarnya membuat kita lebih mendekatiNya, tidak pula dilalaikan, dan tidak pula tertipu oleh mesej-mesej jahat yang terselindung di sebalik indah melodi lagu. Seperti dalam mencari jodoh, agamalah yang paling penting, jika ia datang bersama cantik, kaya dan nasab yang baik,ia adalah bonus semata-mata.

Lagu yang membuatkan kita mengingati mati, tidak pula lalai dalam cinta yang sementara, tidak hanyut dalam emosi cinta palsu, membawa kita mengingati Yang Esa dan mengamalkan arahannya adalah lagu yang baik. Jika ia didendangkan oleh suara yang lunak, diiringi pula dengan alunan muzik yang indah, penyanyinya pula mempunyai wajah yang menarik, ia adalah satu bonus. Perumpamaan mudah, agar tidak keliru dalam memilih lagu adalah seperti tujuan membeli pemain bola.Pembelian berdasarkan kehebatan 'skill'nya dan berobjektif memenangi perlawanan. Rupa paras yang menarik dan tingkahlaku yang baik pula hanyalah bonus kepada kelab yang memilikinya, dan bukanlah tujuan utama pembelian.

*Yahya Abdul Shukor@QinsaNi(nickname di iluvislam) merupakan penulis jemputan iLuvislam.com
*sumber i luv islam

No comments:

Post a Comment