Thursday, July 9, 2009

hitam itu menawan???

“Pak Hitam guna internet untuk memikat, pedayakan gadis tempatan”, itu salah satu petikan akhbar KOSMO bertarikh 6 Disember 2007. Pak Hitam? Bukan sahaja KOSMO menggunakan istilah itu. Malah berita di televisyen juga sama. Malah istilah itu diguna pakai secara berleluasa tanpa ada terlintas langsung pada konotasinya.

Saya masih ingat pada satu ‘jenaka’ di Kota Mekah di musim Haji. Seorang lelaki Jordan bertemu dengan seorang lelaki Sudan. Lelaki Jordan itu mahu bertanya khabar kepada lelaki Sudan itu lalu menyapanya dengan bahasa Arab tempatan Jordan, “ish loonak?” yang bermaksud “apa khabar”. Tetapi terjemahan sebenar ayat tersebut ialah “apa warna kamu?” iaitu ungkapan orang Jordan untuk bertanya khabar. Lelaki Sudan itu melipat lengan bajunya dan menghayunkan penumbuknya ke muka lelaki Jordan itu sambil menyebut, “Aswad!” (Hitam!).

JENAYAH

Tidak saya nafikan warga Afrika yang ada di Malaysia, terdapat sebilangan mereka yang terlibat di dalam pelbagai jenayah. Black money, email yang menawarkan perkongsian wang hasil wasiat yang tersangkut di bank, dan terkini menggoda anak gadis tempatan… adalah di antara jenayah yang sering disabitkan kepada warga Afrika yang berada di negara kita. Hakikatnya, sama sahaja. Warga Indonesia yang berada di Malaysia juga ada melakukan pelbagai jenayah, warga Pakistan, warga Thai, warga China, dan tidak kurang juga anak tempatan sendiri! Jenayah adalah kelakuan makhluk bernama MANUSIA.

Tetapi komen-komen di akhbar dan berita sangat selesa menggunakan istilah PAK HITAM malah ada yang bertanya di dalam KOSMO pada tarikh yang sama di muka surat 9,

“APA yang menarik sgt dgn warga Afrika sampai wanita kita terpikat dengan mereka.-MAMI”

“BOHONGLAH Pak Hitam tak ganggu kehidupan. - AYU JOHARI”

Itu adalah sebahagian daripada komen yang disiarkan. Dari manakah kita mengambil sikap sebegitu? Bukan jenayah yang dikomen, tetapi warna kulit itu yang disabitkan terhadap pelakunya. Kita boleh mengistilahkan mereka sebagai warga Afrika, tetapi ‘Pak Hitam’ juga yang dipilih. Sama seperti gelaran orang Barat yang memanggil ‘Pak Hitam’ kita sebagai Nigger!

HITAM BUKAN SOALNYA

Bukanlah warna itu yang membawa konotasi negatifnya. Kerana di dalam manuskrip tua Arab sekali pun, benua Afrika itu berkurun lama dipanggil sebagai Bilad al-Sudaan (sudan_mini.JPG) atau “Negeri Orang Hitam”. Ia adalah lanjutan daripada gelaran yang mereka berikan kepada kawasan Afrika Utara yang disebut sebagai Bilad al-Baydhaani atau “Negeri Orang Putih”.Tetapi sedikit demi sedikit orang Arab menyeberangi kawasan Sahara dan Savanna ke arah Selatan, penduduknya semakin berkulit gelap dan hitam lalu akhirnya kekal selama berkurun, benua Afrika itu dikenali sebagai Bilad al-Sudaan atau Negeri Orang Hitam.

Ia suatu ungkapan yang bermaksud mahu memberikan identiti kepada suatu kaum di sesebuah tempat. Tetapi ungkapan “Pak Hitam” atau “Nigger” memikul konotasi negatif. Ia muncul dari sikap memandang rendah kepada orang Afrika yang berlaku sama ada hasil kepercayaan kepada idea tertentu, atau berlaku tanpa sedar seperti keselesaan kebanyakan kita menggunakan istilah Pak Hitam di dalam laporan akhbar dan berita.

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu itu berbangsa-bangsa dan berqabilah, agar dengan kejadian yang begitu kamu saling kenal mengenal di antara satu sama lain” [Al-Hujurat : 13]

Muslim harus bebas dari sikap diskriminasi bangsa dan warna kulit.

ISLAM IN SUB-SAHARAN AFRICA

Semester ini saya berasa segar kerana menerima suntikan baru ke dalam minda apabila berpeluang mempelajari tentang sejarah Afrika secara lebih mendalam. Seperti biasa, sejarah yang dipelajari ini bukanlah bermaksud untuk mengetahui apa yang berlaku bila dan di mana, secara naratif, tetapi kami bergerak ke arah matlamat yang penting iaitu:

“…to refute the Western claim that Africa had no history before its contact with Europe, and to show that Islam played an outstanding role in enriching African heritage. Africa is indeed the “continent of Islam”. Also, to emphasize the civil and civilizational role and impact of Islam in sub-Saharan Africa, and hence challenge the assertion of some Western writers and propagandists that Islam “enslaved” and “confused” the Africans, both in the continent and in the diaspora, the so-called the neurosis of conversion”

Inilah titik tolak kepada perbincangan kami bagi subjek ini. Dan saya berasa sangat teruja dapat mengenal ketinggian dan kehebatan tamadun yang pernah wujud di benua Afrika sebelum ia dimusnahkan dengan Kolonialisasi Barat yang melapik keinginan penjajahan mereka dengan menganggap penguasaan itu sebagai “The White Man’s Burden“. Menjadi tanggungjawab orang Kulit Putih untuk ke Afrika dan Asia bagi membantu mereka agar hidup bertamadun dengan tamadun Barat!

Sikap ini amat berleluasa sehinggakan menjelang 1950r42;an, kajian tentang Sejarah Afrika masih sangat pekat berpaksikan kepada Euro-Centric, atau melihat Afrika hanya dari perspektif superiority attitude Eropah. Hingga pada tahun 1970r42;an suatu usaha besar-besaran telah dilakukan untuk menulis kembali Sejarah Afrika, pada idea, pemikiran dan tamadunnya, dari perspektif Afrika (Africa Centric) hingga terhasilnya suatu ensiklopedia yang besar dan kaya di bawah tajuk The General History of Africa.

Inilah teks utama yang akan menjadi rujukan saya dan rakan-rakan di sepanjang semester ini dan Insya Allah, dengan izin-Nya saya akan cuba berkongsi perkara-perkara menarik dengan pembaca saifulislam.com yang budiman.

* sumber i luv islam

No comments:

Post a Comment