Saturday, July 4, 2009

Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Empat kunci kebahagiaan
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”:Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.!”

Riwayat Ibnu Hibban

Huraian
i) Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:

a) Wanita yang solehah- iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.
b) Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.
c) Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.
d) Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.
ii) Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
iii) Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.

*sumber JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

peringatan daripada ALLAH S.W.T


Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai satu virus yang berbahaya, yang sekali lagi menyerang penduduk dunia. Virus tersebut ialah selesema khinzir. Virus atau wabak ini sempat membuatkan manusia cemas dan hidup dalam ketakutan. Mana tidaknya, virus ini boleh menyebabkan kematian yang tidak dijangka-jangka. Dan duhulunya ia dikenali sebagai selesema burung.

Kini, virus itu menyerang sekali lagi. Kali ini, khinzir merupakan alat penyebar virus tersebut. Alhamdulillah, kita sebagai umat Islam diharamkan daripada memakan daging babi dan mengambil manfaat daripadanya. Tidakkah kita terfikir makna yang tersirat daripada pengharaman tersebut? Manusia pada zaman dahulu tidak dapat mengkaji keburukan daripada memakan daging khinzir. Akan tetapi, teknologi kini semakin canggih.

Teknologi sains pada zaman kini telah membuktikan dan membongkar rahsia pada daging khinzir. Ternyata, daging khinzir sememangnya membawa keburukan kepada si pemakan. Dan ianya boleh membawa pelbagai penyakit yang berbahaya pada jangka masa yang panjang. Benarlah apa yang dikatakan di dalam Al-Quran selama ini. Saban hari angka kematian semakin meningkat akibat virus pada khinzir ini. Tidakkan kita berfikir bahawa kita umat yang paling beruntung?

Ketika mana virus ini menyerang penduduk di Eropah, seorang tokoh di Malaysia dengan begitu yakin menyatakan bahawa virus ini tidak akan masuk ke Malaysia. Tidak lama kemudian virus tersebut telah mula menyerang penduduk negara jiran kita Thailand. Bagaimana anda boleh sebegitu yakin berkata sedemikian? Sedarlah, virus ini merupakan sebahagian daripada tentera-tentera Allah S.W.T yang akan menyerang manusia dengan perintah Allah ketika mana manusia lalai dengan kehidupan di dunia.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Fath ayat ke 4 yang bermaksud:

"Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

Ya, virus ini merupakan tentera daripada Allah yang ditugaskan untuk memberi peringatan kepada manusia agar tidak leka dengan kehidupan di dunia. Pernahkah kita mendengar kisah Namrud? Seorang raja yang angkuh dan takbur tetapi akhirnya ditewaskan dan mati di tangan seekor nyamuk! Seekor nyamuk yang kecil sahaja sudah cukup untuk membunuh seseorang.

Semua ini dengan perintah Allah yang maha kuasa. Ingatlah, setiap yang hidup pasti akan merasai mati apabila tiba masanya. Dan mati tidak sesekali akan menunggu kita. Dan mati juga tidak akan dilewatkan walaupun sesaat bila tiba masanya.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anbiyaa' ayat ke 35 yang bermaksud:

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). dan hanya kepada kamilah kamu dikembalikan."

Pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, adakah kita sudah sedia untuk menghadapi mati?
* sumber i luv islam

tips memilih lagu


Memilih lagu adalah amat penting. Selain menjadi halwa telinga, ia juga menentukan sama ada kita mendapat pahala atau dosa dengan mendengar lagu tersebut. Rasa terkejut? Hal ini bukanlah suatu yang asing, bahkan ia perlu dititikberatkan kerana Islam adalah suatu cara hidup, bukanlah agama yang berkaitan dengan amalan ritual semata-mata.

Tips memilih lagu ini bergantung dengan tujuan kita mendengar lagu. Jika hanya sekadar mendengar tanpa mempunyai apa-apa tujuan, ia adalah sia-sia kerana setiap amalan berasaskan niat. Mungkin juga kita keliru apa tujuan kita. Kerana rakan-rakan kita mendengar lagu, maka kita turut sama mendengarnya. Pengaruh rakan sebaya kata orang zaman sekarang. Namun jika tujuan kita mendengar lagu adalah untuk berhibur, dan kita pula ingin berhibur dengan sesuatu yang memberi manfaat kepada kita, maka tips ini amat sesuai untuk anda.

Kadang-kadang kita keliru dengan objektif atau niat sebenar dalam kehidupan seharian kita. Kita minum air hanya untuk menghilangkan dahaga, namun seringkali kita memilih gelas yang cantik berbanding yang buruk, meskipun kedua-duanya bersih. Dulu timbul perdebatan mengenai hukum alat muzik bertali. Adakah ia diharuskan oleh Islam ataupun tidak. Perbincangan ini amat meluas dan sering kedengaran. Namun, perbincangan mengenai pemlihan lagu, jarang ditimbulkan. Akhirnya, kita mengambil keputusan yang mudah, iaitu memilih lagu yang bersesuaian dengan jiwa kita, yang muziknya serasi dengan naluri kita, dan sebagainya. Namun saya yakin dan percaya, Islam bukanlah agama yang menyusahkan, namun ia adalah agama yang sempurna dan syumul (menyeluruh).

Adab-adab untuk masuk ke tandas pun dititikberatkan, bukanlah kerana Islam ini agama yang cerewet, tapi kerana ia sungguh prihatin dengan setiap apa yang kita yakni penganutnya lakukan. Ia bukanlah semudah seperti yang diluahkan oleh serangkap lirik lagu tempatan, yang saya agak minati satu ketika dahulu, Whats wrong with the hornies wearing minis Whether in the clubs or malls or streets in the cities We make a big deal about the little things in life On the differences rather than the similarities alike. Pada ketika saya meminati lagu ini, tidak pula sedar akan mesej yang cuba disampaikan. Hak dan kebebasan dalam mengamalkan apa yang ingin dilakukan tanpa mengambil kira hukum agama cuba diterapkan. Namun, tanpa disedari, dalam memperjuangkan hak dan kebebasan ini, ia seperti kata pepatah Melayu, "Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak" kerana dalam rangkap lagu yang sebelumnya, ia berbunyi "Too many wannabes in our Hip Hop community Talking crap bout the ghetto, G thang and the rivalry Talk the way you normally talk lah Youre from KL, not an American rap star". Apa salahnya mereka cuba meniru budaya lain? Dan kenapa pula tidak salah untuk para gadis seksi memakai mini skirt? Adakah ia salah kerana ia berlawanan dengan budaya lain? dan kes kedua, tidak pula salah walaupun berlawanan dengan ajaran agama? Tanpa kita sedari, dalam lagu yang selama ini kita puja, terdapat unsur-unsur yang cuba menggelincirkan kita daripada landasan yang sebenar.


Lagu ini pula, menjadi siulan kita hari-hari, melebihi bacaan kita dalam mathurat, zikir ataupun ayat Al-Quran itu sendiri. Bagi saya, jikalau semua mempertahankan pendapat sendiri untuk memilih lagu dan besertakan hujah-hujah logiknya, mengapa tidak kita memperdebatkan tentang kriteria pemilihan jodoh. Mesti ramai yang tidak bersetuju dengan hadis nabi yang menitikberatkan agama berbanding kekayaan, kecantikan dan keturunan. Jika mahu diikutkan logik akal dan pandangan masing- masing, maka tidak tenteramlah dunia ini. “Dan jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.” (An-Nisa’: 59).

Kita perhatikan pula analogi ini. Seorang isteri sedang nazak di rumahnya akibat penyakit misteri. Si tabib menyuruh si suami pergi ke hutan dan mencari tanaman herba. Disebabkan hanya tumbuhan tertentu boleh dipetik, tugasan tersebut menjadi susah. Kalau diikutkan hati si suami, petik sahajalah tumbuhan yang mudah dijumpai. Namun, disebabkan si tabib lebih memahami penyakit misteri tersebut, si suami terpaksa akur. Sama halnya dengan kita. Dalam apa jua keadaan, atau dalam tajuk ini, memilih lagu, kita boleh lakukan apa yang kita suka. Memilih lagu yang bersesuaian dengan jiwa dan emosi kita. Namun, Allah, Pencipta kita lebih mengetahui apa yang baik untuk diri kita. Sebab itulah kita tidak boleh sewenang-wenangnya memilih.

Lagu yang baik, bagi pendapat saya, bukanlah lagu yang mempunyai muzik yang mendayu-dayu, ataupun dinyanyikan oleh suara yang merdu. Bahkan lagu yang sepatutnya dipilih ialah berdasarkan mesej atau yang makna yang ingin dibawanya. Lagu yang bila mendengarnya membuat kita lebih mendekatiNya, tidak pula dilalaikan, dan tidak pula tertipu oleh mesej-mesej jahat yang terselindung di sebalik indah melodi lagu. Seperti dalam mencari jodoh, agamalah yang paling penting, jika ia datang bersama cantik, kaya dan nasab yang baik,ia adalah bonus semata-mata.

Lagu yang membuatkan kita mengingati mati, tidak pula lalai dalam cinta yang sementara, tidak hanyut dalam emosi cinta palsu, membawa kita mengingati Yang Esa dan mengamalkan arahannya adalah lagu yang baik. Jika ia didendangkan oleh suara yang lunak, diiringi pula dengan alunan muzik yang indah, penyanyinya pula mempunyai wajah yang menarik, ia adalah satu bonus. Perumpamaan mudah, agar tidak keliru dalam memilih lagu adalah seperti tujuan membeli pemain bola.Pembelian berdasarkan kehebatan 'skill'nya dan berobjektif memenangi perlawanan. Rupa paras yang menarik dan tingkahlaku yang baik pula hanyalah bonus kepada kelab yang memilikinya, dan bukanlah tujuan utama pembelian.

*Yahya Abdul Shukor@QinsaNi(nickname di iluvislam) merupakan penulis jemputan iLuvislam.com
*sumber i luv islam

Tuesday, June 30, 2009

RAHSIA JARI KITA

Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari anda yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda.Kemudian, genggam ia kuat-kuat dan angkatkan ke atas. Laungkan ... "Allahu Akbar" sekuat-kuatnya. Itulah Rukun Islam yang mesti dijunjung.

Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka.Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan.Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar.

Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah "Melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya.Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira.. Pada ketika ini, alam remaja menjengah diri.

Awas!!
Di usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran.Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf.Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. Bersediakah anda??

Nah... naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya.Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, anda mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Jesteru itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa "cap jempol" atau cap jari.Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman.Mereka makan 'garam' terlebih dahulu dari kita. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata "good" atau "yes" sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas dan hayun ke hadapan.Itulah rahsia kejayaan anda.

Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima. Renung dan fikir dalam-dalam. Dimanakah kita sekarang..?

*sumber di petik dari www.virtualfriends.net, penulis DilaDellila
** SUMBER I LUV ISLAM

Monday, June 29, 2009

WASIAT TERAKHIR

Mengimbau kembali lembaran sirah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Padang Arafah menjadi suatu medan yang terpalit suatu peristiwa yang amat menyentuh hati dan mengharukan bagi manusia yang mempunyai tunjang aqidah muslim. Di sinilah tempatnya Rasulullah SAW menyampaikan amanatnya buat terakhir kalinya. Sebuah khutbah terakhir yang penuh maksud dan sama sekali menyentuh hati para pencinta Kekasih Allah itu.

Rasulullah SAW bertolak dari Mina ke Arafah setelah naiknya mentari 9 Zulhijjah. Sebuah khemah didirikan untuk baginda. Baginda masuk dan berada di dalamnya sehingga waktu Zohor. Kemudian, Rasulullah SAW mengarahkan al-Qaswah, yakni untanya untuk disiapkan. Lalu Rasulullah SAW menaikinya sehingga tiba di Wadi Uranah. Di hadapan Baginda SAW, ribuan sahabat mengelilingi Baginda SAW dengan perasaan yang penuh dengan debaran menanti apakah yang akan disampaikan oleh Baginda SAW.

Baginda SAW pun bangun berdiri dan menyampaikan khutbahnya yang penuh bersejarah itu.

"Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan, beristighfar, dan bertaubat kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan keburukan amalan kita. Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya, maka tidak ada sesiapa yang boleh menyesatkannya. Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada siapa yang boleh memberi hidayat kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Aku berpesan kepada kamu wahai hamba-hamba Allah supaya bertaqwa kepada Allah dan menggesa kamu supaya mentaati-Nya."

Aku membuka khutbahku ini dengan muqaddimah yang baik. Wahai manusia! Sila dengar apa yang akan kukatakan ini. Aku tidak tahu adakah aku akan dapat bersama kamu semua lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.

1. Sesungguhnya darah kamu,harta benda kamu, dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini, dan Bandar ini (Makkah dan kawasan sekitarnya).

2. Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.

3. Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kakiku (yakni telah dihapuskan).

4. Tuntutan hutang darah di zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Ibnu Rabi’ah bin al-Haris yang telah disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.

5. Riba adalah haram dan aku memulainya dengan membatalkan riba yang akan diterima oleh Abbas bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.

6. Wahai manusia! Takutilah Allah SWT dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimat Allah. Wajib ke atas merea untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk, jika mereka lakukannya, maka kamu berhak untuk menghukum mereka tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan-pakai dengan baik.

7. Semua orang mukmin adalah bersaudara. Oleh itu, tidak halal bagi seorang muslim mengambil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.

8. Jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan kamu suatu panduan. Jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya yakni al-Quran dan as-Sunnah.

9. Wahai manusia! Sesungguhnya tiada nabi lagi selepasku dan tiada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah SWT Tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, serta mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke Rumah Suci Tuanmu (Kaabah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.

10. Tuhan kamu adalah Maha Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik dalam kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa terhadap Allah. Tiada kelebihan bagi bangsa Arab berbanding bangsa lain kecuali dengan taqwa.

11. Allah SWT telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati. Oleh itu, tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga laknat daripada para malaikat dan seluruh manusia.

12. Kemudian kamu akan disoal tentang aku. Maka apa yang kamu jawab? MerekA menjawab, “Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu”. Baginda SAW lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata, “Ya Allah! Saksikanlah”. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang kembali ucapan Rasulullah SAW dengan kuatnya di Arafah ialah Rabi’ah bin Umayyah bin Khalaf r.a.

DI MANA CANTIKNYA SEORANG WANITA

Mungkin pada sepasang matanya yang hening yang selalu menjeling tajam atau yang kadang kala malu-malu memberikan kerlingan manja. Boleh jadi pada bibirnya yang tak jemu-jemu menyerlahkan senyuman manis, atau yang sekali-sekala memberikan kucupan mesra di dahi umi juga, ayah, suami dan pipi munggil anak-anak. Atau mungkin juga pada hilai tawanya yang gemersik dan suara manjanya yang boleh melembut sekaligus melembutkan perasaan.

Sejuta perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan perempuan. Sejuta malah berjuta-juta kali ganda perkataan pun masih belum cukup untuk mendefinisikan tentang keindahan perempuan. Kitalah perempuan itu. Panjatkan kesyukuran kehadrat Tuhan kerana menjadikan kita perempuan dan memberikan keindahan-keindahan itu. Namun, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap di hadapan cermin saban waktu, tiba masanya segalanya akan pergi jua. Wajah akan suram, mata akan kelam. Satu sahaja yang tidak akan dimamah usia, sifat keperempuanan yang dipupuk dengan iman dan ibadah.

Anda ingin lebih cantik dan menarik??

# Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.

# Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.

# Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.

# Pakailah "sabun Istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.

# Rawatlah rambut anda dengan "Selendang Islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki yang merbahayakan.

# Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang Tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin Ukhuwwah.

# Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian".

# Bedaklah wajah anda dengan "air Wudhu" nescaya akan bercahaya di akhirat.

*petikan dari e-mel yg dikirimkan oleh seorg sahabat
*SUMBER I LUV ISLAM

PETUA BERJAYA YANG LUAR BIASA

Segala penghuni petala bumbung dan lantai sudah berkumpul.

Mamalia ada, reptilia ada, berdarah panas menggelegak pun banyak, berdarah sejuk yang kuat rajuk pun melata. Semuanya berkumpul di tepi permatang untuk bergelanggang. Mahu melihat hari ini dalam sejarah.

Sebuah pertempuran yang dinanti-nantikan.

Pertandingan memanjat pokok pinang.

30 makhluk ciptaan Tuhan tampil ke depan. Mahu berentap memanjat ke awan. Habuan yang ditawarkan pun agak lumayan. Siapa mendengar pasti tertawan.

Sang murai menjerit girang, tanda persaingan bermula sekarang.

“Ayuh, ayuh! Jangan mudah berputus asa,” jerit sang punai menyorakkan tupai.

“Panjat, panjat! Siapa cepat dia dapat!,” sorak si badak mengusik si katak.

Tupai, katak, beruk dan lotong, memanjat-manjat mara ke atas. Menoleh ke kanan menoleh ke kiri, sesekali mencanak telinga mendengar sorak rombongan rimba. Sorak yang kuat menambah semangat. Sorak yang semangat menambah kudrat.

Tapi pinang bukan sebarang pinang. Licinnya kulit bukan kepalang. Basah pula dek gerimis petang, tidak beranting tidak berdahan. Hanya batang, tinggi kepalang.

Peluh memercik sengalnya tulang, pucuk pinang masih menjulang. Jauh lagi sebuah kemenangan, untuk juara mengecap kejayaan. Satu demi satu peserta jatuh. Letih, sakit, lenguh, tersepuh. Hanya tinggal segelintir yang keras hati, terus mara tidak peduli.

Warga rimba berubah hati, dari dorong kepada maki. Tadi beri semangat kini mencaci mengumpat. Tangan masih bersorak, mulut mengeji mencanak.

“Sudah-sudahlah, jangan ditamak hadiah yang banyak. Benda mustahil jangan kejar sampai terkucil,” ujar sang platipus memuncung-muncung.

“Kalau kamu mahu sangat tawaran itu, datang sahaja ke sarangku, akan kubelanja!” tawar si merak yang megah berlagak.

“Baliklah, hari sudah petang. Ingat di reban, keluarga tersayang” panggil sang itik, terkedek-kedek.

Satu demi satu peserta hilang semangat. Tubuh penat, basah keringat. Kudrat tadi semakin susut, ghairah pagi menjadi kecut. Tupai yang lincah jatuh ke tanah, biawak yang buas tergelincir terhempas. Batang pinang tinggal sebatang, hanya seekor cicak berjuang.

“Hahaha! Bodohnya cicak itu. Entah apa yang dia mahu” ketawa si beruk bermuka buruk.

“Uhuhuh! Cicak tamak tak ingat anak. Mengejar hadiah tak nampak rumah!” ejek sang kancil tak padan kecil.

Cicak terus mencanak.

Batang pinang dipanjat tak kira orang.

Walau panjatnya lesu perlahan, pinang dipanjat mencapai awan. Bayu petang menghembus kuat, cicak bertahan tak patah semangat. Biar pun diri tinggal sendiri, cicak langsung tidak peduli.

Jika tadi semua mengeji, timbul kagum semua berdiri. Kutuk tidak didengar lagi, kata semangat kini kembali. Cicak mula terima sorak, jangan undur teruskan tempur. Hadiah bukan tawaran sebarangan, lumayan sekali jangan disesiakan.

Sampai di puncak, tersenyum cicak. Cita-cita sudahlah nyata. Tahun ini cicak juara. Hadiah lumayan miliknya jua.

Datang wartawan mencari cerita. Bertanyakan rahsia semangat yang waja. Cicak tersenyum tanpa bicara, soalan ditanya, tiada jawabnya.

Fahamlah semua rahsia sang cicak, rupanya dia CICAK YANG PEKAK.

PENGAJARAN
Jika mahu berjaya dalam hidup, sesekali belajarlah memekakkan diri daripada melayan cakap orang, sama ada kritikan, sama ada pujian. Jika sudah ditetapkan hala tuju, terus sahaja mara ke hadapan.

“Jika kamu mahu menjadi seorang yang mempunyai pandangan, jadilah seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya pandangan menjadi rosak, apabila kamu berbelah bagi” [Abu Tayyib al-Mutanabbi]
* Olahan semula daripada sebuah kisah rakyat masyhur yang dimuatkan di dalam buku Setengah Berisi Setengah Kosong tulisan Bapak Parlindungan Marpaung, terbitan PTS.
**Ustaz Hasrizal aktif menulis di blog beliau di http://saifulislam.com/
***SUMBER I LUV ISLAM